fb fb fb fb fb

Projek ECRL di Kelantan capai lebih 80 peratus

Ir Nik Soh Yaacob

TUNJONG, 20 Oktober- Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kelantan telah mencapai 83.27 peratus, setakat September lalu.
 
Perkara itu menunjukkan tahap kemajuan pelaksanaan pembinaan projek sepanjang 43.86 kilometer mendahului jadual ditetapkan.

Pengarah Jabatan Kerja Raja (JKR) Kelantan, Ir Nik Soh Yaacob berkata, hasil kerjasama baik daripada semua pihak keseluruhan projek pembinaan ECRL di Kelantan juga mendahului berbanding dua negeri lain.
 
Dalam pada itu beliau juga turut memaklumkan berkenaan pelaksanaan projek tersebut dijangka tidak terjejas berikutan Kelantan dijangka berdepan Monsun Timur Laut (MTL) pada November.

"Tapaknya sudah siap, struktur juga sudah dibina maknanya tiada masalah. Cuma kita risaukan apabila berlaku hujan dan banjir.

"Di peringkat struktur boleh dikatakan tiada masalah, ia hasil daripada kerjasama dan juga panduan yang diberikan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL). Jadi kita dapat pastikan bahawa projek ini berada dalam landasan baik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat tapak projek ECRL di Tunjong, di sini.
 
Mengulas lanjut Nik Soh berkata JKR akan bekerjasama dalam memantau pelaksanaan projek berkenaan bagi memastikan ia dapat siap sepenuhnya dijangkakan pada tahun 2026.
 
Perkara itu penting memandangkan projek bakal meningkatkan aspek ekonomi dan pelancongan di Kelantan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI