KUALA LUMPUR, 20 Januari - Projek jalan raya menghubungkan Kampong Bharu dengan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) 2A Lingkaran Kampong Bharu yang melibatkan peruntukan sebanyak RM250 juta bakal bermula tahun ini.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Datuk Affendi Zahari berkata projek berkenaan akan dimulakan secara berperingkat dan dijangka siap menjelang 2026.
"Saya rasa dalam suku pertama atau suku kedua tahun ini, saya pun mahu perkara ini dilakukan secepat mungkin.
"Dia ada 5 pakej dalam DUKE 2A ini untuk menambah baik kemudahan dalam dan luar kampong bharu," katanya selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.
Katanya projek tersebut turut merangkumi lima pakej melibatkan pembinaan terowong dari Jalan Raja Abdullah ke Jalan Sultan Ismail; Pembinaan susur masuk dan keluar Lebuhraya Bertingkat Ampang - Kuala Lumpur (AKLEH) serta naik taraf persimpangan Jalan Tun Razak dan Jalan Sultan Yahya Petra.
Projek DUKE 2A Lingkaran Kampong Bharu dilihat penting untuk pembangunan semula kawasan itu selain menjadi prasyarat utama membolehkan pembangunan lebih pesat dilaksanakan.