Kuala Lumpur, 20 Januari - Dua orang ahli Dewan Negara mengangkat sumpah jawatan sebagai Senator di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim, hari ini.
Mereka ialah Ahli Majlis Pimpinan Bersatu Malaysia, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat, Datuk Shamsuddin Hj Abdul Ghaffar.
Menurut Tan Sri Dr. Rais Yatim, kedua-dua mereka merupakan lantikan baharu yang dipilih oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berkuat kuasa mulai 20 Disember 2021 hingga 19 Disember 2024.
"Kepada Yang Berhormat berdua, galaslah tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin dan tunaikanlah segala sumpah yang telah dilafazkan tadi dengan penuh amanah kerana Dewan Negara ketika ini sedang melalui fasa transformasi yang memerlukan penglibatan dan penyertaan aktif para Senatornya secara menyeluruh, agar peranan Dewan yang mulia ini dalam memperjuangkan suara rakyat menjadi tersohor serta dihormati," kata Rais.
Tambahnya, pelantikan dua senator itu adalah berdasarkan peruntukan Perkara 45(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang dipilih mewakili negeri-negeri seperti mana Jadual Ketujuh, Perlembagaan Persekutuan.