fb fb fb fb fb

Bot karam di Teluk Ramunia, dua PATI lemas dan enam hilang - MARITIM Johor

KOTA TINGGI, 20 Januari - Dua wanita Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) lemas, manakala enam hilang, selepas bot dinaiki mereka karam di kedudukan 0.8 batu nautika Teluk Ramunia, Johor, 4.50 pagi tadi, di sini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MARITIM) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata seramai 19 mangsa pula berjaya diselamatkan terdiri daripada sepuluh wanita dan sembilan lelaki.

Radar Sistem Pengawasan Laut Maritim Malaysia telah mengesan bot dinaiki 27 PATI warga Indonesia terbabit menuju ke perairan negara dari Pulau Bintan, Indonesia dan telah memaklumkan kepada KD Sri Indera Sakti.

"Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengesan bot terbabit pada 4.10 pagi, menyebabkan suspek bertindak melarikan diri dengan membawa bot secara agresif dan merbahaya, sehingga bot terbalik dan karam di lokasi kejadian," katanya kepada pemberita.

Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru telah mengaktifkan Op Carilamat pada pukul 6.40 pagi, bagi mencari enam mangsa yang hilang.

 

Media Baharu