fb fb fb fb fb

Projek cari gali di Laut China Selatan, diteruskan - PM

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 4 April - Petronas akan meneruskan projek cari gali di Laut China Selatan meskipun berdepan isu pertindihan tuntutan dengan China.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia mengganggap bahawa projek tersebut ketika ini berada dalam wilayah negara.

Beliau berkata, perkara tersebut telah beliau bangkitkan semasa pertemuan empat mata dengan Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya, Li Qiang dalam lawatannya ke Beijing, baru-baru ini.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)

"Memang perkara ini dibangkitkan kerana terdapat tuntutan bertindih oleh kedua-dua pihak di Laut China Selatan, terutama kebimbangan China dan kerana Petronas menjalankan kegiatan besar-besaran di satu kawasan yang dituntut China.

"Perkara ini saya sebut sendiri kepada Presiden dan Perdana Menteri China, bahawa Malaysia menganggap ini kawasan Malaysia, maka Petronas akan teruskan cari gali di kawasan itu.

"Bagaimanapun, jika China rasa ini hak mereka, kita boleh buka untuk rundingan," katanya pada sesi soal jawab Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai sama ada Perdana Menteri ada berbincang dengan pemimpin China mengenai keselamatan di rantau ini, terutama kehadiran tentera China di Laut China Selatan.

Media Baharu