fb fb fb fb fb

Bazar Ramadan, 70% peniaga catat peningkatan keuntungan

(Foto BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 4 April- Hasil kaji selidik yang dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ke atas 1,148 peniaga bazar Ramadan mendapati 70 peratus peniaga mendapat peningkatan keuntungan.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata baki 30 peratus lagi menyatakan pengurangan daripada segi keuntungan.

Katanya, daripada jumlah tersebut, 69 peratus peniaga memaklumkan ada pertambahan pengunjung manakala 31 peratus peniaga memaklumkan terdapat penurunan.

"Menerusi hasil jualan, sebanyak 63 peratus peniaga menyatakan peningkatan hasil jualan, manakala 37 peratus memaklumkan berlaku penurunan hasil jualan.

"Pihak peniaga mahu KPDN membantu dalam meningkatkan aktiviti jualan.

"KPDN akan mengadakan libat urus dengan pelbagai agensi terlibat pada masa akan datang dan membabitkan kementerian seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya kepada pemberita di sini.

Tambah Salahuddin, peniaga mengharapkan pengunjung semakin bertambah dan berbelanja di bazar Ramadan, selain kos bahan mentah dapat diturunkan bagi membantu mengimbangi harga jualan mereka.

Namun, peniaga dinasihatkan terus mematuhi peraturan dan perundangan dikuatkuasakan KPDN bagi mengelak dikenakan tindakan tegas.


(Foto BERNAMA)

Media Baharu