fb fb fb fb fb

Program ‘Go Clean’ di Perlis sasar kumpul 7.5 tan barangan kitar semula

Pelancaran Program Perlis Go Clean : Fikir Dulu Sebelum Buang di Auditorium Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam, Pauh Putra/ Foto UniMAP

ARAU, 7 Oktober - Program 'Go Clean, Fikir Dulu Sebelum Buang' menyasarkan pengumpulan 7.5 tan metrik barangan kitar semula dengan 30 peratus daripadanya adalah barangan plastik.

Program tersebut merupakan satu inisiatif antara Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan E-Idaman Sdn. Bhd.

Selain itu, projek tersebut juga menyasarkan kutipan 800 kilogram sisa makanan bagi menghasilkan 400 kilogram baja kompos.

Naib Canselor UniMAP, Profesor Datuk Dr Zaliman Sauli berkata, projek itu bermula sejak 1 Januari sehingga 31 Disember 2025 melibatkan 15 buah kampung dan 30 Hero Kebersihan yang dilantik untuk menjadi suara dalam mendidik dan memantau aktiviti kitar semula tersebut.
 
Program yang dianjurkan melalui Geran Yayasan Hasanah ini mendapat sokongan daripada Kerajaan Negeri Perlis, SWCorp Perlis dan E-Idaman Sdn Bhd selaku syarikat konsesi yang melaksanakan kutipan barangan kitar semula di kampung-kampung yang terlibat.
 
Sebagai sebuah universiti teknikal, UniMAP tidak tertumpu kepada teori dan penyelidikan semata-mata, universiti ini juga mahu ilmu yang ada digunakan untuk memberi manfaat kepada masyarakat.
 
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Perlis Go Clean : Fikir Dulu Sebelum Buang di Auditorium Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam, Pauh Putra.
 
Projek Perlis Go Clean : Fikir Dulu Sebelum Buang diketuai oleh Profesor Madya Dr Irnis Azura Zakarya selaku pengurus projek bertujuan meningkatkan kesedaran tentang 5R (kurangkan, guna semula, kitar semula, tolak, pembaikan dan pengkomposan).
 
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman, Zaki Abdul Aziz Daud menyambut baik jalinan kerjasama akademik dan industri bagi meningkatkan kesedaran kitar semula dalam kalangan masyarakat.
 
E-Idaman menerusi Projek Sisa Pepejal Luar Bandar Negeri Perlis telah melakukan kutipan sisa domestik di 118 kampung di Perlis.
 
Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar, Affendi Rajini Kanth, Pengarah SWCorp Negeri Perlis, Shamsuharizal Basir dan Ketua Pegawai Eksekutif E-Idaman Sdn Bhd, Zaki Abdul Aziz Daud.

ROSLINA BINTI DIN