KUALA LUMPUR, 7 Oktober - Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2024 disifatkan lebih komprehensif berbanding laporan terdahulu, apabila turut memperkenalkan pelaksanaan sistem e-SelfAudit berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan serta ketepatan analisis audit.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, laporan kali ini merangkumi pelbagai aspek.
Ia termasuk pengesahan penyata kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun berakhir 31 Disember 2024, analisis kewangan, prestasi pelaksanaan projek pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), serta beberapa fokus utama audit lain.
"Sebelum wujudnya sistem e-SelfAudit bilangan syarikat yang dapat di audit oleh Jabatan Audit Negara adalah sangat terhad kerana bergantung sepenuhnya kepada jumlah tenaga kerja yang ada, dengan adanya sistem e-SelfAudit, cabaran ini dapat diatasi.
"Pelaksanaannya telah membawa kepada pencapaian yang memberangsangkan bagi Jabatan Audit Negara, jika sebelum ini kapasiti audit terhad, sistem baharu ini telah membolehkan Jabatan Audit Negara untuk mengedit sejumlah besar 1,856 syarikat," kata beliau dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada masa sama, sebanyak 27 syor penambahbaikan telah dikemukakan dalam LKAN kali ini untuk diambil tindakan oleh kementerian, jabatan, agensi yang berkaitan.
Beliau memaklumkan perbahasan mengenai LKAN mencerminkan komitmen kerajaan terhadap ketelusan dan akauntabiliti, bagi memastikan dana awam bebas daripada ketirisan manakala setiap kelemahan audit juga perlu disusuli dengan tindakan pembetulan segera.
Sistem e-SelfAudit dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Februari lalu dan ia merupakan sebahagian daripada reformasi audit negara agar isu ketirisan dan kepatuhan diatasi dengan kadar segera.