KUALA LUMPUR, 7 Oktober - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus bersatu menyatakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Perdana Menteri menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap para sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang baru pulang selepas ditahan rejim Zionis Israel.
"Ayuh kita bersatu sebagai satu bangsa Malaysia, menyuarakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin bersama para wira dan wirawati yang baru pulang selepas ditahan dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla," menurut hantaran itu.
Perdana Menteri percaya tekad memperjuangkan keadilan dan keamanan sejagat sentiasa tersemat dalam sanubari setiap rakyat Malaysia.
"Saya yakin dan percaya bahawa dalam denyut nadi setiap anak Malaysia, tersemat tekad untuk terus memperjuangkan keadilan dan keamanan sejagat.
Marilah kita berganding bahu dan bergerak sederap, mengangkat suara demi Palestin yang merdeka, bermaruah dan berdaulat," tambah kenyataan itu.
Perdana Menteri turut mengajak seluruh rakyat Malaysia menyertai Himpunan Solidariti Bersama Gaza yang akan berlangsung pada malam esok (8 Oktober), bagi menyatakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.