SUBANG JAYA, 7 Oktober - Lima bidang keutamaan menjadi tumpuan utama Forum Peringkat Tinggi Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC) bawah pimpinan Malaysia tahun ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata, perkaara itu selaras dengan aspirasi Wawasan Komuniti ASEAN 2045, yang menekankan pembentukan rantau ASEAN yang inklusif, mampan dan berdaya tahan..
Antara fokus utama ialah pemerkasaan budaya dan warisan, pembangunan kecerdasan buatan (AI) dan sektor hijau, peningkatan kesihatan awam, penglibatan belia dan sukan, serta tindakan terhadap perubahan iklim.
"Bidang keutamaan pertama ialah mewujudkan nilai bagi budaya dan warisan dengan memperkukuh kesedaran terhadap identiti ASEAN, meningkatkan penghayatan serta kepentingannya dalam industri budaya dan kreatif, dan memelihara warisan budaya serantau," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Forum Peringkat Tinggi Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC) di sini hari ini.
Forum berkenaan menjadi platform memperkukuh kerjasama serantau, menghimpunkan pemimpin ASEAN, wakil kerajaan, sektor swasta, dan ahli akademik.