ISKANDAR PUTERI, 7 Oktober - Mayat seorang lelaki yang terlibat insiden bot karam, di sini pada pagi semalam, ditemukan pada pukul 12.55 tengah hari tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan Satu Mahdzir Mahmud dalam satu kenyataan memaklumkan, mayat ditemukan nelayan pada jarak 100 meter dari tebing perairan.
"Mangsa dikenal pasti sebagai Alpaizar Abd Mois, berumur 40-an, dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi ditamatkan pada pukul 2.41 petang tadi. Seramai 16 anggota daripada lima agensi, melakukan operasi pencarian sejak semalam, termasuk pencarian di kedalaman 20 meter," menurut kenyataan itu.
Seorang lagi lelaki yang terlibat insiden itu, ditemui dalam keadaan selamat dan telah diselamatkan orang ramai pada hari kejadian.