fb fb fb fb fb

Program Ziarah Prihatin bantu golongan memerlukan

KANGAR, 21 September - Pertubuhan UNIC Prihatin Perlis telah melaksanakan Program Ziarah Prihatin dan menganjurkan Kelas Belajar Mengaji Al-Quran bergerak menggunakan van secara percuma dan perkhidmatan ambulans bagi membawa pesakit ke hospital.

Pengasasnya,  Kapten (Bersara) Arizal Abdul Latif berkata, ziarah prihatin yang diadakan sejak Januari lalu telah menziarahi 60 keluarga yang memerlukan perhatian dan bantuan terutamanya pesakit terlantar, warga emas dan mereka yang ditimpa musibah.

Menerusi kerjasama dengan Jawatankuasa Kariah Masjid, bantuan berupa barangan keperluan harian dan wang tunai dapat disalurkan terus kepada penerima berdasarkan maklumat diperolehi.

Kerjasama baik bukan sahaja dengan kariah masjid malah, dua lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Aspirasi Prihatin Malaysia serta Persatuan Kebajikan Joggers Perlis menjadikan program sebegini lebih bermakna serta memanfaatkan lebih banyak penerima.

"Program Ziarah Prihatin ini akan dilaksanakan secara berperingkat dengan ziarah rumah ke rumah, dengan sumbangan dan bantuan yang disampaikan juga untuk menanam rasa prihatin dan memperkukuhkan hubungan baik sedia ada bersama-sama masyarakat terutama golongan yang memerlukan," kata Arizal , di sini.

Beliau memaklumkannya ketika menziarahi warga emas dan pesakit terlantar di Jalan Kurung Batang, Pokok Jawi, Bintong bersama-sama Imam Masjid Ar Raudhah, Radzi Abdullah dan Timbalan Pengerusi Masjid Ar Raudhah, Nor Wahi Nordin serta sukarelawan Aspirasi Prihatin Malaysia serta Persatuan Kebajikan Joggers Perlis diketuai Pengerusinya Hashimah Ismail.

(Perkhidmatan ambulans bagi membawa pesakit ke hospital)

Media Baharu