fb fb fb fb fb

Hentikan diskriminasi OKU, hak asasi perlu dilindungi

(FOTO HIASAN/ BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 21 September- Diskriminasi terhadap pelajar kurang upaya (OKU) perlu dihentikan, kata Senator Isaiah A/L D. Jacob.

Beliau menegaskan golongan itu wajar mendapat tempat di institusi pengajian tinggi.

Katanya, kekurangan golongan itu tidak boleh dijadikan alasan untuk menafikan hak mereka menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Ini berlaku di dalam universiti kerajaan. Saya amat sedih sekali, ada seorang pelajar saya lawat di Kuantan dapat tawaran di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) tapi apabila pergi temu duga, perkataan yang digunakan dalam temu duga itu amat menyedihkan. Kami tidak minta, ibu bapa kami tidak minta kami dilahirkan seperti ini. Kami tidak mohon jadi seperti ini tetapi masyarakat di luar tidak menjaga perasaan golongan istimewa dan mendiskriminasi. Saya mohon kerajaan memastikan hak asasi golongan istimewa dilindungi," katanya pada sesi perbahasan di Dewan Negara, di sini, hari ini.


(Senator Isaiah A/L D. Jacob ketika sesi perbahasan di Dewan Negara hari ini)

Senator Isaiah juga menyelar tindakan beberapa institusi pendidikan rendah dan tinggi yang gagal menyediakan kemudahan seperti tandas OKU yang sempurna sehingga menimbulkan kesukaran kepada pelajar untuk menggunakan kemudahan tersebut.

Jelasnya, kemudahan sedemikian perlu disediakan sewajarnya seperti termaktub dalam Akta OKU.

Sementara itu, Jabatan Hal Ehwal OKU perlu segera diwujudkan dan diletakkan di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan keadilan terhadap golongan istimewa terus dipelihara.

"Untuk menjaga golongan OKU ini banyak kena perhatikan. Dengan ini, saya mohon kerajaan wujudkan Jabatan Hal Ehwal Istimewa bawah Jabatan Perdana Menteri untuk memastikan keadilan hak asasi mereka dijaga. Jabatan ini mesti diterajui oleh golongan istimewa bukan orang biasa sebab ini hak kami, beri kami untuk uruskan jabatan ini," ujar Senator Isaiah.




Media Baharu