fb fb fb fb fb

Kastam, UniMAP hasilkan prototaip rawatan air daripada rokok rampasan

(FOTO UniMAP)

PAUH PUTRA, 21 September- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) komited untuk memperkasa bidang akademik dan penyelidikan serta mengambil pelbagai inisiatif bagi melengkapkan kecemerlangan akademik universiti itu.

Terbaharu, universiti berteraskan kejuruteraan itu mengukuh jalinan kerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi menyelesaikan masalah lambakan rokok rampasan agensi berkenaan.

Menurut Naib Canselor UniMAP, Profesor Datuk Dr Zaliman Sauli, kerjasama yang terjalin sejak 22 Jun 2019 menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) itu turut memberi fokus tentang kaedah pelupusan tidak mencemarkan alam sekitar.

Menerusi kerjasama itu juga, JKDM Perlis dan UniMAP berjaya meraih kemenangan di Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) melalui prototaip rawatan air membrane selulosa asetat dan karbon teraktif, produk penghalau serangga dan baja kompos.

“Produk-produk ini dihasilkan menggunakan sumber rokok rampasan tersebut. Bagaimanapun, perjalanan kerjasama terhenti disebabkan masalah pandemik COVID-19 yang melanda dunia pada 2020,” katanya.

MoU kali kedua antara kedua-dua pihak telah diadakan di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) dengan UniMAP diwakili Profesor Datuk Dr Zaliman manakala JKDM diwakili Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Sazali Mohamad.

Menerusi kerjasama yang baharu ini, UniMAP akan meneruskan kajian lapangan terhadap prototaip rawatan air yang dibangunkan dan keberkesanan penghalau serangga terhadap produk produk pertanian seperti padi dan tanaman cili.

Kajian berkenaan dilaksanakan oleh Pusat Kecemerlangan Biomass for Utilisation dari FKTK diketuai Profesor Madya Dr. Khairuddin Md Isa dengan produk yang dihasilkan sebelum ini akan ditambah baik untuk dijadikan prototaip dan juga melalui ujian lapangan untuk meningkatkan keberkesanan setiap produk disamping dapat menghasilkan kualiti yang lebih baik.


(FOTO UniMAP)

Media Baharu