LIMBANG, 21 September - Seramai 178 penduduk ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) selepas Kampung Baru, Medamit di sini dilanda banjir, semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang Leftenan (PA) Mirwan Shah Masri dalam satu kenyataan berkata, PPS Dewan Masyarakat Medamit dibuka pada pukul 4.30 petang selepas kampung tersebut dilanda banjir berikutan cuaca hujan berterusan sejak tiga hari lalu.
Kesemua penduduk terjejas banjir yang dipindahkan ke PPS itu terdiri daripada 61 keluarga dari kampung tersebut.
"Berdasarkan Sistem Telemetri Hidrologi dalam talian di laman web iHydro pagi semalan, paras air Stesen Ukong di Limbang melepasi tahap bahaya 6.50 meter dengan catatan 7.17 meter namun menunjukkan trend paras air menurun," kata Mirwan Shah, di sini.
Sementara itu, bacaan paras air di Stesen Long Teru di Bahagian Miri mencatatkan 7.48 meter berbanding paras berjaga-jaga 7 meter.
Tiga stesen mencatatkan paras berwaspada iaitu Stesen Sungai Daussan di Bahagian Mukah (6.22 meter), Stesen Sungai Salim di Bahagian Sibu (2.7 meter) dan Stesen Marudi di Bahagian Miri (2.86 meter).
(FOTO HIASAN)