fb fb fb fb fb

Program Ziarah Kasih, peluang pemimpin dekati masyarakat setempat

Foto RTM

BESERI, 13 Jun- Program Ziarah Kasih menjadi platform pemimpin setempat untuk turun padang bertemu masyarakat, menyelami susah payah sekali gus membantu menyelesaikan kemelut dihadapi mereka.

Program tersebut dilaksana secara berkala, berkonsepkan jelajah di segenap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Parlimen Padang Besar.

Bantuan difokuskan terhadap keluarga yang sakit terlantar, sakit kronik yang memerlukan rawatan berkala, bantuan pendidikan serta musibah bencana yang ditempuh mereka merangkumi bencana alam atau kemalangan.

Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais berkata program yang dilaksanakan sejak Januari sehingga Rabu, telah berjaya mendekati lebih 300 keluarga seluruh Padang Besar berdasarkan maklumat yang diperoleh menerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP).

"Menerusi Program Ziarah Kasih, tumpuan bukan sahaja untuk menyantuni keluarga yang memerlukan perhatian dan sokongan serta bantuan, tetapi juga permasalahan setempat yang memerlukan penyelesaian segera atau jangka panjang bersama agensi berkaitan," kata Ruzaini kepada pemberita.

Beliau ditemui ketika menziarahi pesakit terlantar di sekitar FELCRA Lubuk Sireh bersama Jawatankuasa UMNO Bahagian Padang Besar dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP).

Program tersebut dijangka akan diperluas, dengan penambahan bilangan penerima bantuan.

Selain menyampaikan bantuan, Program Ziarah Kasih turut menjadi platform mengeratkan silaturahim antara penerima berbilang kaum.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM