fb fb fb fb fb

OPS HRAA: Tingkat pematuhan undang-undang menjelang Aidiladha - JPJ Melaka

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff (tengah)

BUKIT PIATU, 13 Jun- Menunggang motosikal walaupun lesen memandu digantung, antara kesalahan yang dikesan JPJ Melaka dalam Operasi Bersepadu Sempena Ops Hari Raya Aidiladha (HRAA), malam tadi.

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata berdasarkan rekod, lesen memandu milik individu berusia 30 tahun itu digantung selama lima tahun sejak Julai 2022, kesalahan bawah Seksyen 38 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Antara kesalahan utama lain dikesan sepanjang operasi yang bermula pada 10 Jun lalu ialah membawa lebih muatan atau muatan bahaya, tidak mematuhi lampu isyarat, tidak memakai topi atau tali pinggang keledar dan memotong di dua garisan berkembar.

"Sehingga hari ini, daripada 10 bulan berkenaan kita sudah memulakan pemeriksaan bagi 1,725 buah kenderaan dan 347 buah kenderaan yang diambil tindakan membabitkan beberapa kesalahan.

"Bagi kesalahan (P) 22, sebanyak 672 notis telah dikeluarkan tidak termasuk hari ini. Jika termasuk hari ini (semalam), lebih kurang 24 buah kenderaan telah disita. Kemudian, 38 buah kenderaan yang diberi arah periksa.

"Lapan diberi arah timbang di bawah timbang APAD dan empat di bawah notis 63, arah timbang JPJ," kata Muhammad Firdaus kepada pemberita selepas Ops HRAA JPJ Melaka di Bukit Piatu, pada Rabu. Selain itu, pemeriksaan turut dibuat di terminal bas.

Setakat semalam, 75 bas telah diperiksa dengan dua daripadanya telah diambil tindakan selain 27 diberikan notis atas pelbagai kesalahan. Ops HRAA akan dilaksana sehingga 30 Jun 2024.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM