KANGAR, 13 September - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Kedah dan Perlis menganjurkan program kolaborasi bersempena dengan sambutan Hari Malaysia, dengan penyertaan 50 penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Sena di sini.
Penyelaras program, Nurasyikin Mahir berkata, inisiatif Program YADIM Rai Ummah itu bertujuan menyemarakkan sambutan Hari Malaysia yang akan disambut pada 16 September ini selain mendekati komuniti setempat.
"Usaha ini sejajar dengan hasrat Melestari Gerakan Dakwah, berteraskan semangat saling hormat-menghormati serta perpaduan yang menjadi tunjang kehidupan harmoni di negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program YADIM Raikan Ummah di Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Sena di sini.
Program itu turut melibatkan penyertaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Dakwah Kedah dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Selain menjadi platform berkongsi maklumat mengenai Hari Malaysia, program itu turut memberi peluang menyantuni golongan kurang berkemampuan melalui Sumbangan MADANI.