fb fb fb fb fb

Pasar Tani Jepak cipta peluang niaga, tingkat pendapatan petani

Pasar Tani Jepak anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)

BINTULU, 13 September - Pasar Tani Jepak anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang julung kali diadakan di kawasan itu menjadi platform baharu kepada petani untuk menjual hasil pertanian secara terus kepada pengguna.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, kewujudan pasar tani itu mampu meningkatkan pendapatan petani selain memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan barangan segar pada harga berpatutan.

"Pasar tani merupakan salah satu saluran pemasaran utama hasil pertanian di Sarawak, selain membuka ruang kepada golongan belia untuk berniaga melalui konsep jualan but kereta. Pasar ini beroperasi pada setiap Sabtu dan Ahad, bermula pukul 6.00 pagi hingga 1.00 tengah hari di pekarangan pasar bersebelahan Giat MARA Jepak.

"Setakat ini, terdapat 23 peserta aktif menyertai pasar tani Jepak, merangkumi sembilan peserta kategori sayur-sayuran dan buah-buahan, tujuh peserta minuman, enam peserta makanan dan minuman, serta seorang peserta Industri Asas Tani (IAT)," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pasar Tani Jepak, di sini.

Selain jualan hasil tani, majlis turut diserikan dengan Program Jualan Agro MADANI yang menawarkan barangan asas pada harga mampu milik dengan sasaran jualan RM25,000 serta kehadiran kira-kira 400 pengunjung.

Pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan bagi memeriahkan suasana, antaranya pertandingan makan buah, mewarna kanak-kanak dan cabutan bertuah.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI