MERSING, 13 September - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM100,000 kepada Perhimpunan Agung Pengakap Johor (PAPJ) ke-27 2025 di Mersing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan akan disalurkan pada Isnin ini.
Beliau berkata pergerakan pengakap masih kekal relevan sehingga ke hari ini kerana nilai yang dipupuk, dapat dijadikan panduan kepada masyarakat.
"Hari ini ia masih relevan, soal ada nilai-nilai yang kekal sepanjang masa, yang universal, seumpamanya kemahiran, disiplin, perpaduan, yang dipupuk dalam semangat, tolong-menolong, kasih sayang, itu tak lapuk dek zaman.
"... Maknanya ia relevan 100 tahun dahulu dan relevan 100 tahun akan datang", katanya berucap semasa Perhimpunan Agung Pengakap Johor ke-27 2025 di Mersing.
Acara tahun ini menghimpunkan lebih 4,000 ahli pengakap dalam dan luar negara, menjalankan aktiviti ilmu pengakap, sains teknologi kejuruteraan matematik dan pengembaraan lasak.