BINTULU, 4 Mac– Institut Sains Ekosistem Borneo (IEB) Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) dengan kerjasama Universiti Pertanian Tokyo (Tokyo NODAI) telah menganjurkan program Tokyo NODAI Borneo Mangrove Exploration 2025 bagi memperkukuhkan kerjasama pemuliharaan bakau di Sarawak.
Program berlangsung di Kuala Sibuti, Sarawak menghimpunkan 10 ahli Mangrove Research Club Tokyo NODAI untuk mengkaji dan mengalami sendiri ekosistem bakau di Borneo.
Pengarah IEB, UPMKB, Dr. Syeed Saifulazry Osman Al-Edrus berkata, program itu bertujuan memberikan pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan ekosistem bakau dan usaha pemuliharaannya.
"Melalui program ini peserta dapat memahami secara langsung kepelbagaian biologi bakau di Sarawak serta cabaran pemuliharaannya.
"Kajian lapangan ini juga membolehkan mereka memperoleh pengalaman praktikal dalam usaha konservasi," katanya menerusi kenyataan.
Pengarah program, Dr. Keeren Sundara Rajoo pula berkata, kerjasama antarabangsa itu penting dalam memelihara ekosistem unik Borneo, selain memperkukuh hubungan akademik antara UPMKB dan Tokyo NODAI.
"Inisiatif seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar tetapi juga menyumbang kepada usaha pemeliharaan ekosistem bakau yang kritikal bagi keseimbangan alam sekitar dan kelestarian biodiversiti," katanya.
Pelajar jurusan perhutanan dari Tokyo NODAI, Naoki Kato, berkata ia merupakan pengalaman pertamanya dalam meneroka ekosistem bakau di Borneo.
"Program berkenaan dapat memperkukuhkan pemahaman dalam bidang perhutanan
"Saya berharap program ini dapat dijadikan sebagai inisiatif tahunan untuk Mangrove Research Club bagi memberi lebih banyak peluang kepada pelajar untuk menjalankan penyelidikan,” katanya.
Program yang turut dianjurkan bersama Pejabat Hutan Wilayah Miri merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UPMKB dalam memperkukuh kajian ekosistem bakau serta memperluaskan jaringan kerjasama dengan institusi antarabangsa dalam bidang konservasi alam sekitar.
Sepanjang program, para pelajar mengambil bahagian dalam sesi taklimat pendidikan dan aktiviti lapangan.
Kerjasama terbabit bukan sahaja memperkukuh pemahaman pelajar mengenai pemuliharaan bakau, malah mengukuhkan komitmen IEB UPMKB dalam memupuk pertukaran akademik antarabangsa ke arah kelestarian alam sekitar.