fb fb fb fb fb

ENEGEM: Malaysia-Singapura perkukuh pembekalan tenaga tanpa fokus keuntungan

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Mac- Pelaksanaan Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) dengan Singapura bertujuan memperkukuh sistem pembekalan, bukan berorientasikan keuntungan.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir menjelaskan ia adalah mekanisme perdagangan TBB merentas sempadan dengan menjual lebihan elektrik daripada sistem bekalan elektrik yang dikendalikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui ENEGEM.

Pelaksanaan itu juga antara inisiatif perintis di bawah National Energy Transition Roadmap (NETR), berpandukan Garis Panduan "Cross-Border Electricity Sales for Renewable Energy (CBES-RE)" yang dikeluarkan Suruhanjaya Tenaga.

"Kalau kita lihat pun, kaedahnya ialah penjualan itu adalah berdasarkan lebihan elektrik hijau daripada sistem bekalan elektrik yang sedia ada.

"Jadi, berdasarkan model pelaksanaan itu, bekalan elektrik hijau daripada sistem bekalan elektrik ini terletak dalam 'energy pool' yang mana bila kita buka untuk bidaan daripada pembeli tenaga dari Singapura, berdasarkan tawaran tarif yang tertinggi.

Untuk tenaga boleh baharu, pasaran di sini pun sebenarnya kita bersifat terbuka dan mana-mana pihak yang berminat boleh sertai pembekalan tenaga elektrik hijau dalam negara ini. Sementara itu, apa yang kita uruskan dengan Singapura itu berbentuk daripada sistem, bukannya dari mana-mana pihak tertentu," kata Akmal Nasrullah di Parlimen, hari ini.

Kenyataan itu bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM