fb fb fb fb fb

Program Tautan Perdana diperluas, wadah kerajaan berkhidmat kepada rakyat

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz/ BERNAMA

BACHOK, 19 April- Program Tautan Perdana akan diperluas bagi menyampaikan perkhidmatan kerajaan secara langsung kepada rakyat.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, objektif utama program itu adalah untuk mendekatkan hubungan antara agensi dan jabatan kerajaan dengan penduduk kampung, selain, menyantuni masyarakat sekitar.

"Pegawai kerajaan tidak lagi boleh duduk di pejabat sahaja, tapi mereka mesti turun ke bawah melihat apa yang kurang dan apa yang perlu kerajaan tambah baik lagi kepada rakyat supaya rakyat juga menikmati kemakmuran yang ada dalam negara kita", katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Penutupan Program Tautan Perdana di Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Ara, Bachok.

Program Tautan Perdana yang kini sedang berlangsung di seluruh negara bertujuan mendengar keluhan masyarakat kampung supaya masalah di hadapi dapat di selesaikan sebaik mungkin.

Beliau turut memaklumkan, proses pusingan kerja fasa pertama membabitkan kira-kira 1,000 kakitangan awam yang bertugas di kaunter perkhidmatan kerajaan telah selesai dilakukan.

"Banyak jabatan yang ada perkhidmatan kaunter seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Imigresen, Jabatan Pendaftaran (JPN) telah pun melaksanakan, namun begitu ini adalah proses yang berterusan. Jadi kita buat secara berfasa.

"Fasa pertama telah selesai dan kita melihat fasa kedua untuk kita menggantikan mereka yang sepatutnya bergerak", katanya.

Sementara itu, kerajaan bercadang untuk mewujudkan aplikasi teknologi dan kecerdasan buatan (AI) dalam usaha untuk memudahkan rakyat berurusan di kaunter perkhidmatan awam.

Tan Sri Wan Ahmad Dahlan berkata cadangan tersebut, rancangan jangka panjang, memastikan perkhidmatan di kaunter kerajaan, sentiasa pada tahap terbaik.

"Kerajaan sentiasa berusaha untuk mencari satu kaedah baharu bagaimana untuk kurangkan perkhidmatan kaunter dengan cara guna teknologi dan AI.

"Justeru, kita cuba mewujudkan aplikasi yang lebih memudahkan supaya rakyat tidak perlu lagi datang ke kaunter, tetapi hanya menggunakan aplikasi tertentu untuk berurusan dengan pihak kerajaan," katanya.

ROSLINA BINTI DIN