KUALA LUMPUR, 19 April - Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia memberikan bantuan kepakaran sekiranya diperlukan kepada bekas atlet jalan kaki negara G. Saravanan, yang kini menghidap penyakit neuron motor (MND).
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata KKM mempertimbangkan bantuan itu memandangkan Saravanan, yang pernah meraih pingat emas acara 50 kilometer lumba jalan kaki lelaki pada Sukan Komanwel 1998, adalah tokoh sukan yang patut diberi perhatian.
“Sekiranya terdapat keperluan, kami akan memberikan respons yang sewajarnya. Inilah sebabnya mengapa penting untuk kita memberikan perhatian kepada tokoh-tokoh sukan yang sedang melalui proses penuaan agar mereka kekal sihat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Perubatan Sukan Malaysia 2025 di Universiti Malaya di sini hari ini.
Beliau dalam pada itu turut memuji keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menyalurkan bantuan kepada Saravanan semalam.
“Di bawah kepimpinan PMX (Anwar), saya tahu beliau seorang yang sangat prihatin dan inilah cerminan Kerajaan MADANI. Kami di KKM juga bersedia memberikan bantuan,” katanya.
Semalam, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi menyampaikan bantuan kepada Saravanan, 54, yang kini sedang menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya.
Saravanan, atlet terakhir negara yang meraih pingat emas dalam acara olahraga pada Sukan Komanwel, dilaporkan menghidap penyakit MND sejak 2021, satu penyakit yang menyebabkan kelemahan otot dan masih belum ada penawar.
Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata Rang Undang-Undang (RUU) Penjagaan Pra Hospital bagi melindungi orang awam yang memberi bantuan kecemasan kesihatan seperti resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan defibrilator luaran automatik (AED) daripada implikasi undang-undang, dijangka dibentang pada suku keempat tahun depan.
Beliau berkata inisiatif kementerian itu sedang diteliti oleh Bahagian Perkembangan Perubatan bersama Pejabat Penasihat Undang-Undang KKM.
“Saya sekali lagi membincangkannya ketika mesyuarat pasca Jemaah Menteri yang lepas, penasihat undang-undang KKM sedang menelitinya dan kerana banyak RUU untuk tahun ini, mungkin tahun depan kita dapat melakukannya.
“Dari segi keperluan, ia bukan sesuatu yang menekan, tapi saya mahukannya kerana apabila telah meletakkan dasar untuk mengembangkan penggunaan AED seluruh negara. Maka kita perlu melindungi orang awam. Apabila mereka ke depan untuk melakukan CPR dan apa pun bantuan sebagai responden pertama, ia sangat penting,” katanya. - BERNAMA