fb fb fb fb fb

Program Sunathon 2025 tarik penyertaan 185 kanak-kanak di Kangar

FOTO RTM

KANGAR, 21 Disember - Seramai 185 orang kanak-kanak berusia antara 4 hingga 12 tahun tidak melepaskan peluang menyertai Program Sunathon 2025 yang dilaksanakan di tiga masjid sekitar Kangar, bersempena cuti persekolahan ini.

Program berlangsung di Masjid Al Mustaqim, Seriab; Masjid Al Ariffin, Padang Katong dan Masjid Saidina Umar Al Khattab, Guar Syed Alwi.

Pengarah Program yang juga Pengarah Perubatan Annura Medical Group, Dr Ahmad Fadhzil Mohamad memaklumkan, program yang dilaksanakan dengan kerjasama pengurusan masjid memberi peluang keluarga terlibat untuk tidak perlu lagi menanggung kos yang tinggi bagi mendapatkan khidmat berkhatan di klinik atau hospital.
 
"Pelaksanaan program itu juga sebagai tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan sambutan diterima amat menggalakkan dari ibu bapa khususnya yang menetap berhampiran masjid terlibat.

"Berikutan sambutan menggalakkan dari kariah setempat, Program Sunathon akan diteruskan selepas ini melibatkan kerjasama pelbagai pihak," katanya.

Beliau memaklumkannya pada Program Sunathon 2025 di Masjid Al Ariffin, Padang Katong yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling.

Bagi Masjid Al Ariffin, seramai 49 kanak-kanak menjalani proses berkhatan. 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM