PUTRAJAYA, 25 Februari- Program Solat ‘Subuh Macam Jumaat’ bersama Sonny Bill Williams yang merupakan seorang lagenda ragbi dunia telah disertai seramai hampir 5,000 jemaah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar yang turut hadir berkata kerajaan sentiasa mengalu alukan sebarang usaha bagi menarik golongan belia terutamanya, untuk mengimarahkan masjid termasuk mengundang ‘pempengaruh’ mahupun artis.
"Semoga anak-anak muda belia yang datang Subuh pada hari ini akan meneruskan semangat untuk datang solat Subuh bukan saja dengan kehadiran pempengaruh macam Sonny Bill William atau Aliff Satar, tetapi datang dengan kehendak sendiri.
"Yang paling penting ialah niat kehadiran untuk menunaikan solat Subuh ini kita jangan niatkan dengan sebab nak bertemu dengan pempengaruh atau artis, bila mana kita melakukan sesuatu itu niat khusus kerana untuk mendapat keredhaan Allah SWT,"katanya.
Katanya, selain solat subuh berjemaah dan qiamullail, jemaah juga turut menyertai aktiviti berjalan santai bermula dari Masjid Putra sehingga ke Istana Kehakiman Putrajaya bersama sama lagenda tersebut.
Bukan itu sahaja, saudara Sonny juga tidak melepaskan peluang untuk berkongsi pengalaman dan ilmu bersama jemaah yang hadir usai solat subuh berjemaah.
"Secara jujurnya, semua ini sangat indah dan menakjubkan, kehormatan yang besar kepada saudara Aliff Satar dan pihak pihak yang berada di belakang tabir kerana semua ini sangat indah.
"Saya memandu kesini untuk solat subuh, solat yang paling berat buat Muslim, tetapi di masjid sangat penuh, terasa seperti solat pada hari raya, Subhanallah sangat indah dan sebagai seorang Muslim saya menjadi bangga terhadap komitmen Muslim lain, semoga usaha ini sentiasa diteruskan,"katanya.
Majlis ini turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail.