fb fb fb fb fb

Program 'Skills For Life' tawar kemahiran tambahan kepada belia

PUTRAJAYA, 28 Januari- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menganjurkan Program 'Skills For Life' bagi tujuan memperkasakan golongan itu dengan kemahiran tambahan.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata sebanyak 22 latihan kemahiran asas ditawarkan pada hujung minggu sehingga Mac depan.

Antara latihan asas itu seperti penyelenggaraan elektrik, pembaikan kenderaan, gunting rambut, penyediaan makanan tradisional dan seni fotografi melalui telefon pintar.

"Langkah seterusnya adalah untuk kita bagi kemahiran juga untuk menguasai bahasa. Kita nak juga mereka buat kursus mingguan untuk kelas Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil.

"Supaya belia ini, bila dia nak pergi temuduga dapatkan pekerjaan dia ada kemahiran baharu.

"Jadi minat kita bukan sahaja kursus khas, tapi kursus hujung minggu bagi belia yang telah mempunyai kerja untuk tingkatkan lagi," katanya.

(Hannah Yeoh)

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Program Skills For Life 2023 di Menara KBS, di sini hari ini.

Maklumat berkaitan program boleh diikuti menerusi Facebook KBS dan ia terbuka kepada golongan belia berusia sehingga 40 tahun terutama daripada B40, M40, belia berisiko dan minoriti.

Bayaran yang dikenakan pula antara RM10 hingga RM30 bagi tujuan menyediakan peralatan atau perkakas latihan.

Jelas beliau, latihan kemahiran yang menerima sambutan ramai akan ditambah pada masa akan datang.

Media Baharu