ALOR GAJAH, 21 Oktober - Program 'Singgit Seposen' anjuran Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) berjaya menjana 26 tan kutipan sisa kitar semula dengan nilai bayaran RM13,000 sejak 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif PTHM, Ismail Hasim berkata untuk tahun ini, sebanyak tujuh tan sisa kitar semula dikutip dengan nilai bayaran RM4,000.
Beliau berkata, pihaknya menyasarkan tiga lagi program sama akan dilaksana sehingga akhir tahun ini.
"Kita hendak mendidik masyarakat supaya program ini dapat beri kesedaran kepada masyarakat. Ini selari bila Perdana Menteri telah lancar hala tuju perubahan kepada tenaga yang baru maka kita hendak mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
"Kita komited menjelang tahun 2035 supaya KDNK kita adalah 45 peratus berbanding pada tahun 2025 jadi itu adalah target kerajaan negeri Melaka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program kitar Semula “Singgit Seposen” Infineon dan Komuniti sempena Sambutan hari Alam Sekitar Negara 2023, di sini.
Tambah Ismail, sambutan yang diterima sejak penganjuran program berkenaan amat menggalakkan dan akan diteruskan pada masa akan datang.