
KOTA BHARU, 28 Februari – Program Singgah Sahur @Kota Lama bukan sekadar menyantuni petugas barisan hadapan, tetapi juga menghargai jasa dan pengorbanan mereka dalam menjaga keselamatan rakyat.
- Menghargai jasa dan pengorbanan anggota bomba dan penyelamat dalam menjaga keselamatan awam semasa malam Ramadan.
- Pusat Khidmat DUN Kota Lama dan Persatuan Belia Kota Bharu menyalurkan juadah sahur kepada petugas barisan hadapan.
- Program bertujuan memupuk empati dan keprihatinan dalam kalangan golongan belia serta melahirkan pemimpin masa depan.
- Inisiatif ini menyuntik semangat anggota bomba dan memberi inspirasi kepada belia untuk meneruskan program serupa.
Program tersebut dilaksanakan oleh Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama dengan kerjasama Persatuan Belia Kota Bharu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim berkata pihaknya terpanggil untuk menyampaikan juadah bersahur kepada pasukan terlibat yang telah banyak berkorban menjaga keselamatan rakyat ketika orang ramai tidur nyenyak.
Beliau berkata, selain menghargai jasa dan pengorbanan pasukan Bomba dan Penyelamat, ia juga bertujuan melatih rasa empati dalam diri golongan belia.
“Antara tujuan yang pertama untuk menghargai jasa pengorbanan oleh anggota bomba dan penyelamat dalam usaha menjaga keselamatan dan juga bersedia menghadapi sebarang kemungkinan apabila semua rakyat tidur. Yang keduanya untuk melatih dan menimbulkan rasa empati serta keprihatinan pemimpin belia bersama dengan pusat khidmat ADUN Kota Lama ini dalam kita membentuk pemimpin masa depan dan yang ketiganya menambah nilai lagi menghidupkan malam-malam ramadan kamilah,” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan juadah sahur kepada anggota bomba dan penyelamat Kota Bharu, di sini hari ini.
Bagi Pengerusi Majlis Belia Daerah Kota Bharu Ruzaini Aiman Ruzlan, program yang dianjurkan memberi inspirasi kepada golongan belia dan semangat untuk mereka meneruskan program tersebut pada masa akan datang.
“Ia memberikan satu inspirasi dan kami ingin mengucapkan ribuan terima kasihlah kepada bomba yang bertugas malam ni walaupun kita tengah tidur selesa, mereka tetap bertugas. Ini kali pertama kami sertai Program Singgah Sahur. Insya-Allah jika diberi peluang, kami akan menyertai lagilah. Sebab program ini bagi kami agak menyeronokkan dan menimbulkan satu semangat kepada kamilah untuk teruskan program ini,” katanya.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan, Farhan Sufyan Borhan pula berkata, pihaknya menghargai usaha yang dilaksanakan Dr Hafidzah dan belia menerusi Program Singgah Sahur.
Usaha tersebut katanya, menyuntikkan lagi semangat anggota bomba yang bertugas.
“Saya amat terujalah dengan kehadiran Yb dan juga belia-belia Kota Bharu sempena Singgah Sahur ni. Ini juga menyuntik semangatlah kepada kami sebagai Warga Bomba dalam masa bulan ramadan ni bersama kita meraikan dan juga mendalamilah berkenaan dengan pekerjaan bomba yang 24 jam memastikan keselamatan kita semua terjamin,”katanya.