KUANTAN, 19 April- Pantai Timur menjadi zon pertama bagi penganjuran Program Seni Warisan 2025 yang diadakan menerusi Bahagian Program Radio RTM.
Menurut Pengarah Bahagian Program Radio RTM, Saifuzzaman Yusop, himpunan kepelbagaian seni budaya di bawah satu bumbung itu mengangkat dan memperkenalkan lagi seni warisan negeri masing-masing.
Ia juga menjadi platform mengangkat bakat seni tempatan zon timur.
"Supaya dapat mengukuhkan dan mengukhuwahkan seni warisan itu sendiri, sebagai contoh ini adalah kali pertama gabungkan Terengganu, Pahang, Kelantan pada satu zon sama supaya seni itu gemilang, seni itu berkomunikasi antara negeri itu sendiri", katanya.
Tambahnya, pelaksanaan program seni warisan ini juga bagi memberi pendedahan buat generasi muda mengenali dan menghargai budaya sendiri.
Beliau berkata demikian dalam Program Seni Warisan Zon Timur 2025 di Auditorium Darul Makmur (ADAM), Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah (KOMPSAS), RTM Pahang di Kuantan.
Turut hadir, Pengarah Penyiaran Negeri Pahang, Arifin Awang, Pengarah Penyiaran Negeri Terengganu, Sabri Mansor dan Pengarah Penyiaran Negeri Kelantan, Shaheezam Said.
Dalam program itu, setiap negeri mempersembahkan seni warisan budaya masing-masing, antaranya wayang kulit, gamelan dan lagu-lagu rakyat.
Program tersebut turut diserikan dengan penampilan khas juara Bintang Klasik 2023, Hisyam Rahim dan artis sensasi dari Kelantan, Iela Nabila.
Program Seni Warisan RTM 2025 itu juga bersiaran secara langsung di platform RTMKlik dan tiga stesen radio RTM zon Pantai Timur.
Program ini akan meneruskan jelajahnya ke utara, selatan dan Sabah serta Sarawak.