fb fb fb fb fb

Arab Saudi wajibkan permohonan permit haji melalui Nusuk

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar

PUTRAJAYA, 20 April - Kerajaan Arab Saudi menetapkan semua jemaah haji dari seluruh dunia termasuk Malaysia supaya membuat permohonan permit haji menerusi platform, Nusuk yang disepadukan dengan “Platform Permit” bersepadu untuk pengeluaran permit rasmi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, ketetapan itu dilaksanakan bagi memastikan pelaksanaan ibadah haji berjalan secara sistematik, teratur dan mengikut peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi.

"Setiap negara dia ada peraturannya dan seperti mana kebanyakan negara dan saya tahu secara peribadi yang Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepakarannya dalam teknologi maklumat. Nusuk ini memang secara peribadinya memang ia diperkenalkan supaya pengurusan haji itu lebih efektif, berkesan dan berpusat. sebab itu diperkenalkan Nusuk tadi tu," kata Dr Naim.

Beliau ditemui selepas majlis perasmian Kursus Perdana Haji peringkat Wilayah Persekutuan berlangsung di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini.

Platform Nusuk diperkenalkan bagi memudahkan pengurusan pelbagai keperluan ibadat haji dan umrah, merangkumi permohonan permit, penjadualan waktu ibadat di lokasi tertentu, serta penyelarasan logistik bagi memastikan kelancaran perjalanan jemaah di Tanah Suci.

Beliau turut memaklumkan inisiatif tersebut juga bertujuan meningkatkan kecekapan pengurusan jemaah haji selain memberikan pengalaman ibadah yang lebih lancar dan tersusun kepada para jemaah.

Sehubungan itu, pihak berkuasa Malaysia menasihatkan agar semua jemaah mematuhi peraturan dan menggunakan saluran rasmi yang disediakan menerusi platform Nusuk bagi mengelakkan sebarang kesulitan sepanjang musim haji nanti.

Lembaga Tabung Haji (TH) telah menganjurkan sebanyak 22 sesi Kursus Perdana Haji (KPH) di seluruh negara bermula 11 April hingga 4 Mei depan.

Bakal haji turut dinasihatkan menjaga akhlak dan disiplin tinggi sepanjang berada di Tanah Suci, selain menekankan kepentingan persediaan rohani, fizikal dan mental demi kelancaran ibadah.

TETITIA YUSOFF