JOHOR BAHRU, 11 Mei- Pelbagai program diadakan Kementerian Perpaduan bagi menyemarakkan perpaduan dalam kalangan masyarakat, selaras dengan peningkatan indeks perpaduan negara.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, peningkatan indeks perpaduan negara daripada 0.5% kepada 0.6% menjadi indikator kepada keberkesanan pelbagai program perpaduan yang dilaksanakan di seluruh negara.
Katanya, antara program yang diketengahkan ialah Semarak Kenegaraan, Semarak Perpaduan dan Semarak Rahmah yang melibatkan komuniti di Kawasan Rukun Tetangga (KRT).
"Kita pun telah mengadakan satu kerangka perpaduan dalam Malaysia Madani. Ada beberapa fokus utama dan Kementerian Perpaduan fokus kepada kebudayaan dan kemasyarakatan.
"Dua itu. Yang ekonomi, undang-undang, pendidikan tu bawah kementerian lain. Kita ni kemasyarakatan dan kebudayaan," kata Aaron selepas merasmikan Program Ramah Tamah Uniti Kaamatan & Gawai Tahun 2023 di Dewan Taman Mawar, Pasir Gudang di sini.
Menurut beliau program itu berupaya memupuk dan menjalinkan kesefahaman antara pelbagai pihak serta kaum.
Turut hadir bersama ke program tersebut Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon dan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim.
(Datuk Aaron berkata program Semarak tingkatkan indeks perpaduan negara)