fb fb fb fb fb

Program SelCo: 8,400 Panel Solar dipasang di KKIA

Bekalan tenaga elektrik hijau di KKIA / foto BERNAMA

KOTA KINABALU, 14 Julai - Lapangan Terbang Antarbangsa Kota Kinabalu (KKIA) kini memperoleh akses bekalan tenaga elektrik hijau selepas pemasangan panel solar di bawah Program Solar untuk Penggunaan Sendiri (SelCo).

Ia selepas diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga pada tahun 2022 sebelum penyerahan kuasa pembekalan elektrik kepada Kerajaan negeri Sabah.

Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof menerusi sisi jelajah PETRA Skuad berkesempatan melakukan lawatan bagi meninjau projek berkenaan di KKIA.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut mendengar taklimat berkaitan solar bumbung KKIA ini.

Projek ini di bawah kawal selia Suruhanjaya Tenaga Negeri Sabah (ECoS).

Kapasiti keseluruhan pemasangan panel solar adalah 3,780kWp, iaitu antara solar di bumbung bangunan yang terbesar SelCo di bawah portfolio Malaysia Airports Sdn. Bhd. (MASB) dengan anggaran keluasan pepasangan 43,452 meter persegi.

Dengan 8,400 modul fotovolta dipasang di tiga bumbung bangunan, ia dianggarkan dapat menjana dan menghasilkan 5,325.7MWj bekalan tenaga elektrik hijau setahun.

Pelaksanaan Program SelCo ini dijangka membuka akses bekalan tenaga elektrik hijau yang lebih luas khususnya kepada pihak korporat dan industri untuk memenuhi komitmen ESG, selain menyokong aspirasi peralihan tenaga negara untuk mencapai sasaran 70% campuran kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2050.

HASRON BIN HASSAN