fb fb fb fb fb

Jambatan merentasi Sungai Marang dijangka siap pada suku kedua 2027

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi/ BERNAMA

MARANG, 14 Julai - Projek menaik taraf jambatan merentasi Sungai Marang membabitkan jajaran sejauh 2.5 kilometer di laluan FT003 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dijangka siap sepenuhnya pada suku kedua 2027.

Menteri Kerja Raya Malaysia Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, yang telah bermula sejak Disember 2021 dengan nilau RM338 juta itu telah mencapai kemajuan fizikal pada 54.7 peratus.

"Jadi saya difahamkan jaminan telah diberikan oleh kontraktor dan juga pegawai. Mereka memaklumkan bahawa kemungkinan tiada lagi lanjutan masa (EOT).

"Jadi ini berita baik suapaya projek ini boleh disiapkan mengikut jadual baru yang telah ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau tapak pembinaan projek menaik taraf jambatan merentasi Sungai Marang di laluan FT003 Jalan Kuala Terengganu – Kuantan di sini.

Pembinaan jambatan baharu itu akan mengurangkan kadar trafik pengguna jalan raya susulan kewujudan empat lorong dua hala sekali gus menyuraikan masalah kesesakkan jalan raya terutama pada waktu puncak dan perayaan.

Jambatan baharu itu juga direka bentuk agar kapal nelayan Zon C dapat menyusuri sungai untuk pendaratan hasil nelayan laut dalam.

Sebelum ini hanya bot-bot kecil dapat melepasi jambatan lama yang dibina pada tahun 1960 dan telah mencapai usia lebih 55 tahun.

Perlaksanaan projek yang direka mengadaptasi metodologi Building Information Modelling (BIM) dilihat mampu untuk meningkatkan tahap keberkesanan pengurusan aset menyeluruh.

Terdahulu, beliau yang dalam rangka lawatan kerja di Terengganu turut melawat projek pembaikan laluan pantai sejauh kira-kira 280 meter di Kuala Nerus yang runtuh disebabkan fenomena Monsun Timur Laut (MTL).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI