fb fb fb fb fb

YDP Agong perkenan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025

Foto BERNAMA

SEREMBAN, 14 Julai - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memberi perkenan untuk melaksanakan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (PSA).

Menurut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul, tarikh pelaksanaannya akan diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam masa terdekat.

“Sudah tentu dalam akta itu diberi tempoh penyesuaian selama 24 bulan kerana kita ada pelbagai staf termasuk pegawai perubatan, peguam, pentadbir Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan bukan PTD.

Parlimen mula bersidang pada 21 Julai ini dan saya akan berbincang dengan Menteri untuk menetapkan tarikh rasmi penguatkuasaan PSA ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bengkel Pemantapan Buku Panduan Parlimen Belia Malaysia (PBMy) 2025 di Klana Resort Seremban, di sini.

Turut hadir Pengerusi Penasihat PBMy, Tan Sri Borhan Dolah dan Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman serta 50 peserta daripada pelbagai agensi pelaksana seluruh negara.

Mengulas lanjut, Tan Sri Dr Johari berkata, selepas pelaksanaan PSA, Parlimen boleh melaksanakan tugas tanpa terikat dengan arahan daripada eksekutif.

Media sebelum ini melaporkan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 diluluskan di Dewan Rakyat.

Sekali gus, menyaksikan Perkhidmatan Parlimen bakal mempunyai kuasa autonomi untuk menentukan dasar dan tadbir urus Parlimen Malaysia selepas 33 tahun.

Kelulusan itu menandakan satu kejayaan besar dalam usaha reformasi institusi yang dihasratkan Kerajaan MADANI dengan membawa pentadbiran negara kembali ke landasan melalui penggubalan RUU berkenaan.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN