MATA AYER, 20 Mac -Pengurusan Masjid As Sobirin di sini dengan kerjasama Sabirah Enterprise melaksanakan Program Sebuah Rumah Sekampit Beras sempena ketibaan Ramadan.
Pengerusi Masjid As Sobirin Kampung Gial, Sabri Lateh memaklumkan program berkenaan bertujuan meringankan beban kariah masjid berkenaan disamping mengeratkan silaturahim antara penduduk kampung.
Sabri turut berkata sebanyak 800 kampit beras disediakan untuk diagihkan kepada kariah.
Tambah Sabri, pengagihan dibuat dari rumah ke rumah, tanpa mengira kaum, agama, fahaman politik, mendiami rumah sendiri atau rumah sewa.
"Agihan kepada setiap keluarga dilaksanakan secara berperingkat dan penghantaran ke setiap rumah dibuat pengurusan masjid menerusi aktiviti Ziarah Dakwah", katanya pada pengagihan beras sempena Program Sebuah Rumah Sekampit Beras di sekitar Kampung Gial, di sini.
Beras berkenaan merupakan hasil derma sumbangan kariah masjid dan penduduk berdekatan.