fb fb fb fb fb

Program rancangan 'Syahadah' terbitan RTM menang di Festival Filem Dunia Cannes

KUALA LUMPUR, 28 Disember- Radio Televisyen Malaysia (RTM) menang dalam program dokumentari 'Syahadah' terbitan Unit Majalah dan Dokumentari (UMD) di Festival Filem Cannes (CWFF) pada 26 Disember lalu.

Dokumentari tersebut mengungguli kategori Filem Dokumentari Pendek Terbaik.

Kemenangan berganda apabila episod sama dengan tajuk ‘Hijrah Muhibah’ (Migration Goodwill Malaysia) ini juga terdahulu pada 30 November 2022 turut dijulang sebagai pemenang kategori Dokumentari Pendek Kali Pertama Terbaik di Anugerah Antarabangsa Dokumentari Pendek Bangkok (BKK Short Doc).

Dua kejayaan besar ini tentunya menjadi aspirasi penggerak dalam menjana peluang penciptaan bahan yang bertaraf dunia oleh RTM.


(Di sebalik tabir pembikinan dokumentari Syahadah)

Menurut penerbit program Azry Ahmad Mustafa Hadi, beliau rasa gembira dapat merakamkan realiti sebenar yang dilalui masyarakat beragama Islam dan Kristian di Lutong, Miri, Sarawak yang mengamalkan semangat muhibah.

Apatah lagi produk tempatan ini berjaya diangkat di peringkat dunia.

Bagi yang belum berkesempatan menyaksikannya, RTM menayangkan semula program ini pada 30 Disember, Jumaat, pukul 10.30 malam menerusi saluran TV1 serta di TV Okey, pukul 4.30 petang pada 1 Januari depan.  

Pengisian dokumentari ini tentang penghijrahan jauh beribu batu oleh Mohd Zulkifli Mohd Adnan, seorang guru agama dari Terengganu ke Lutong, Miri, Negeri Sarawak Bumi Kenyalang.

Penghijrahan ini berlaku kerana Zulkifli akur kepada nasihat guru agama dan juga ibu bapanya.

Namun penghijrahan sementara ini bertukar menjadikan beliau pemastautin tetap setelah merasai sendiri pengalaman menjalani kehidupan muhibah antara berlainan agama di Lutong, Miri, Sarawak.

Semangat muhibah ini berjaya menambat hati guru agama ini untuk terus tinggal menyumbang tenaga bagi pendidikan agama di sana sehingga kini. 

Zulkifli ketemui erti muhibah di sana. Hijrah Muhibah itu benar-benar terjadi kepada dirinya.

Kehadiran beliau amat disenangi oleh warga Miri yang mengamalkan semangat keharmonian serta toleransi antara agama yang baik.

Dokumentari ini menjalani penggambaran bermula 14 Februari hingga 17 Februari 2022 selama 4 hari di sekitar Lutong, Bahagian Miri, Negeri Sarawak Bumi Kenyalang.

Nama disebalik belakang tabir yang menjayakan penerbitan syahadah 2022 Hijrah Muhibah ini adalah penerbit Azry Ahmad Mustafa Hadi, penolong penerbit Danny Gubes, jurukamera Hasfawizlan Harun, juruaudio Faiza Musa, penolong jurukamera Irnul Hulaifah Mohammad, pemandu Suhaily Amit dan Lukas Jenau Peggie, penerbit penyelaras Hisyamudin Ahmad, dan penerbit eksekutif Siti Nurbaini Khairi.

Media Baharu