fb fb fb fb fb

Angsi Forest Challenge 2025 lonjak promosi ekopelancongan Negeri Sembilan

Hampir 1,000 penyertaan daripada 12 negara, termasuk Indonesia, Singapura, India dan United Kingdom pada edisi kali ini./RTM

KUALA PILAH, 26 Oktober – Penganjuran edisi ketiga Angsi Forest Challenge (AFC) 2025 merupakan kesinambungan usaha Kerajaan Negeri Sembilan dalam memperkukuh promosi produk ekopelancongan hutan negeri itu menjelang Tahun Melawat Negeri Sembilan (TMNS) 2026.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, acara tahun ini mencatat hampir 1,000 penyertaan daripada 12 negara, termasuk Indonesia, Singapura, India dan United Kingdom.

“Kami sentiasa mengadakan program seperti ini yang menarik penyertaan antarabangsa. Tahun ini lebih ramai peserta menyertai, dan saya yakin ia boleh dikembangkan lagi sebagai produk pelancongan berasaskan alam semula jadi yang mampu menarik lebih ramai pelancong asing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Angsi Forest Challenge (AFC) 2025 di Taman Eko Rimba Ulu Bendul, Kuala Pilah.

Nicole turut memaklumkan edisi seterusnya dijangka memperkenalkan lokasi baharu di Gunung Besar Hantu, Jelebu, yang terkenal dengan keindahan flora dan fauna semula jadinya.

Tambah beliau, pelaksanaan TMNS 2026 bakal menjadi titik tolak untuk memperkukuh jenama pelancongan Negeri Sembilan secara berterusan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Hamidi Abd Halim, memaklumkan setakat ini tiada penutupan trek pendakian di seluruh negeri, namun pihaknya sentiasa memantau keadaan cuaca semasa.

“Musim hujan yang dijangka bermula Oktober hingga Disember memerlukan semua pendaki lebih berhati-hati. Jika cuaca tidak mengizinkan, elakkan memasuki kawasan hutan. Buat masa ini, semua trek masih dibuka, bergantung kepada keadaan cuaca semasa,” katanya.

Beliau berkata, terdapat 14 trek pendakian yang diwartakan di Negeri Sembilan bagi tujuan eko pelancongan, dengan dua daripadanya – Gunung Besar Hantu dan Trans Naning – diwajibkan menggunakan perkhidmatan Malim Gunung berdaftar.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI