ALOR SETAR, 26 Oktober -Tiga buah sekolah di Kedah terpaksa melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), susulan banjir melanda beberapa daerah di negeri itu.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Abdul Rahim Mat berkata dalam kenyataan berkata, pelaksanaan PdPR itu melibatkan dua sekolah di daerah Pendang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kubur Panjang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubur Panjang, serta SK Seri Jemerli di Kuala Ketil, Baling.
Katanya, tempoh pelaksanaan PdPR bergantung kepada situasi banjir di kawasan terlibat.
"Setakat pukul 3.00 petang tadi, hanya sebuah sekolah di Kubang Pasu dilanda banjir iaitu Sekolah Kebangsaan Seri Banai, manakala lima sekolah dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS)," katanya menerusi kenyataan itu.
Lima sekolah yang dijadikan PPS ialah SK Pagar Museh, SJKC Khai Min, SK Merbau Pulas, dan SJKC Aik Chee di daerah Kulim/Bandar Baharu, serta SMK Changlun di Kubang Pasu.
Setakat ini, seramai 255 murid terjejas akibat banjir yang melanda beberapa kawasan di negeri berkenaan.
