HULU TERENGGANU, 2 November- Kejayaan program Perusahaan Sosial Cakna Cili Boh membantu meningkatkan keyakinan diri penghuni Baitul Cakna Pelandan Hulu Terengganu yang terlibat dengan perniagaan tersebut.
Susulan itu Yayasan Petronas selaku penaja penuh program tersebut itu sejak beberapa tahun lalu komited untuk terus membantu dan memperluaskan usaha berkenaan, dengan jalinan kerjasama Yayasan AiDS Malaysia dan Pertubuhan Komuniti Cakna Terengganu.
Jelas Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia Professor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, sumbangan tajaan disalurkan adalah bertujuan membantu penghuni komuniti Cakna yang terjejas dengan HIV dan masalah penagihan dadah untuk memperluaskan Perusahaan Sosial Cili Boh secara komersial.
Beliau berkata, ia sekali gus mampu menjana pendapatan yang mampan dan bertindak sebagai mekanisme peningkatan kemandirian untuk meningkatkan ekonomi sara hidup mereka selain mengurangkan kadar kemiskinan serta kerentanan sosial, tekanan stigma dan diskriminasi yang membelenggu anggota komuniti berkenaan.
"Alhamdulillah, Yayasan Petronas membantu untuk membeli mesin baru bagi menyokong usaha membuat cili boh untuk pasaran dan seterusnya menjana pendapatan bagi penduduk-penduduk di sini"katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi Ketua Operasi Yayasan Petronas Tengku Noraida Tengku Mahmood Tengku Noraida menyempurnakan Perasmian Memacu Kehidupan Rumah Kebajikan Program Cili Boh, Baitul Cakna Lelaki di Pelandan Hulu Terengganu.
Turut hadir Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Doktor Anita Suleiman dan Presiden Pertubuhan Komuniti Cakna Terengganu, Amran Ismail.
Impak Projek Pemprosesan dan Pengagihan Cili Boh dimulakan pihak Cakna Terengganu pada tahun 2016 ini membolehkan komuniti tersebut untuk terus bertahan.
Selain itu, pihak pengurusan Baitul Cakna juga menyediakan latihan dan pembangunan kemahiran hidup kepada 45 penghuninya untuk menceburi aktiviti pertanian-sayuran dan penternakan ayam kampung.