KUALA LUMPUR, 2 November- Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan semua proses perolehan akan dilaksana dengan lebih tegas, cekap dan mengikut prosedur yang ditetapkan biarpun berdepan situasi darurat atau kecemasan.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata tindakan sewajarnya juga akan diambil terhadap teguran Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menerusi laporan Pengurusan Wabak COVID-19 yang diterbitkan baru-baru ini.
"KKM akan mengambil pendekatan yang lebih tegas dan cekap dalam proses perolehan walaupun dalam keadaan darurat mahupun waktu-waktu kecemasan, ia dibuat mengikut prosedur yang betul, itu pendirian KKM," kata Zaliha di Dewan Rakyat di sini.
Isnin lalu, PAC mengeluarkan laporan itu yang mendedahkan tiada kontrak atau perjanjian digubal antara KKM dan Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd (PLSB).
Ini berlaku dalam perolehan ventilator ketika negara berdepan penularan wabak COVID-19 pada 2020.