fb fb fb fb fb

Program Perlindungan & Rondaan Biodiversiti: 240 kes direkodkan

(Foto hiasan)

KUALA LUMPUR, 6 Mac- Sebanyak 240 kes direkodkan di bawah operasi penguatkuasaan Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3) bagi tempoh 2019 hingga tahun lepas, di seluruh semenanjung.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata operasi berkenaan juga berjaya menahan seramai 460 pesalah membabitkan warganegara serta warga asing.

Warga asing membabitkan individu dari Myanmar, Kemboja, Thailand, Vietnam, China, Bangladesh, Sudan, Pakistan dan Indonesia.


(Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad)

"Yang melibatkan tangkapan 349 orang pesalah warganegara dan 11 warga asing dengan jumlah sitaan RM112 juta bukan jumlah yang kecil. selain itu, 1875 jerat dijumpai telah dimusnahkan," kata Nik Nazmi selepas Penyampaian Watikah Pelantikan Renjer Komuniti di bawah BP3, di sini.

Operasi BP3 bertujuan membanteras pencerobohan, pembalakan haram serta pemburuan hidupan liar di kawasan hotspot melibatkan pelbagai agensi.

Antara kawasan hotspot tersebut melibatkan kawasan Taman Negara, Hutan Rizab Hidupan Liar, taman-taman negeri, hutan simpan kekal serta tapak Ramsar.

Terdahulu dalam majlis berkenaan, seramai 120 anggota renjer komuniti baharu dilantik dalam kalangan veteran Angkatan Tentera Malaysia, veteran PDRM, masyarakat Orang Asli serta komuniti setempat.

"Seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2023, RM50 juta telah diperuntukkan bagi inisiatif perluasan renjer komuniti dan bilangan renjer komuniti pada tahun ini akan ditingkatkan kepada 1,500 orang.

"Kita percaya bahawa pelantikan renjer dalam kalangan komuniti ini dapat mengukuhkan penguatkuasaan," katanya.

Media Baharu