fb fb fb fb fb

Program Peranti Siswa Keluarga Malaysia Fasa 2 dibuka 1 Ogos hingga 30 September ini- Annuar

KUALA LUMPUR, 19 Julai- Program Peranti Siswa fasa kedua akan dibuka bermula 1 Ogos hingga 30 September depan.

Jelas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, permohonan kali ini akan diperluaskan kelayakan kepada pemohon dari Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Kolej Matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan.

"Untuk fasa kedua, mereka yang datang dari keluarga B40 yang pendapatan keluarga atau 'house hold income' di bawah RM4850 sebulan, layak untuk membuat permohonan secara online, mulai 1 Ogos dan akan ditutup pada 30 September bagi permohonan fasa kedua dan penyampaian peranti di fasa kedua dijangka dapat dijalankan sebaik saja proses ditutup, iaitu kira-kira pada bulan Oktober," katanya dalam sidang media di Parlimen.

Tambahnya, penjelasan lanjut akan diumum pada 4 Ogos depan di parlimen menerusi pertanyaan jawab lisan.

Penjelasan tersebut meliputi jenis peranti yang dibekalkan, spesifikasi, dan jumlah yang diberikan mengikut Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, IPTA, IPTS.


(GAMBAR FAIL)

Dalam perkembangan lain, Annuar melahirkan rasa kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang menyebarkan berita palsu berhubung kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di parlimen semalam.

Jelas beliau, berita palsu tersebut juga menfitnah Datuk Seri Ismail Sabri sebagai anti penjaja dan ia bersifat politik.

"Saya ingin menyebutkan disini, perbuatan demikian adalah peraturan dan undang-undang yakni cuba menyebarkan berita dalam bentuk yang 'fake'.Separa benar kerana diambil sedutan separuh yang membawa makna yang berlainan daripada maksud yang sebenar. Kita faham itu barangkali bagi tujuan politik untuk menanam kebencian dan untuk menghakis keyakinan rakyat, seolah-olah Perdana Menteri tidak prihatin atau anti penjaja-penjaja kecil," ujarnya.

Tambah beliau lagi, tindakan susulan harus diambil terhadap pihak yang menyebarkan berita palsu tersebut.

Dalam pertanyaan jawab lisan semalam, Ismail memaklumkan minyak paket yang bersubsidi tersebut adalah untuk kegunaan domestik dan bukan komersial, pihak kerajaan masih menggunakan budi bicara dengan tidak menyaman peniaga kecil.

Namun, kenyataannya berhubung minyak paket yang digunakan makcik goreng pisang dalam satu video pendek telah diputar belitkan pihak tidak bertanggungjawab.

Media Baharu