fb fb fb fb fb

Program pemulihan melalui Parol dan Perkhidmatan Komuniti berkesan pulihkan banduan

(FOTO BERNAMA)

TUARAN, 16 Oktober - Program pemulihan melalui Parol dan Perkhidmatan Komuniti didapati berkesan dalam memulihkan banduan di negara ini apabila hanya satu daripada 800 banduan yang mengikuti pemulihan itu kembali ke penjara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata jumlah itu menunjukkan peratusan kembali ke penjara yang amat kecil iaitu 0.125 peratus, berbanding peratus banduan yang tidak mengikuti program berkenaan kembali ke penjara iaitu pada tahap yang tinggi 18.6 peratus.

Katanya, salah satu mekanisme penting dalam pemulihan melalui Parol dan Perkhidmatan Komuniti itu adalah Rumah Perantaraan yang menempatkan Orang Diparol (ODP) dan bekas banduan bagi memberikan mereka tempat tinggal, riadah dan kelas pembelajaran secara sementara.

(Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail / FOTO BERNAMA)

"Jadi dengan adanya rumah perantaraan, sekurang-kurangnya mereka paling asas ada tempat tinggal, ada penjagaan, tapi rumah perantaraan bukan sekadar itu, di sini nanti akan diisi dengan pelbagai program dan aktiviti dan yang paling penting adalah untuk perkembangan kemahiran mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Rumah Perantaraan Tuaran di Kompleks Yayasan Kebajikan Suria, Kampung Panjut, Berunggis, di sini.

Sementara itu, Saifuddin berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) giat melaksanakan inisiatif bagi menangani isu keselamatan di seluruh negara tanpa prejudis terhadap sesebuah negeri.

Beliau berkata ia berdasarkan analisis isu dan cabaran keselamatan yang merupakan tunjang kepada pembangunan negara.

Memberi contoh di Sabah, Saifuddin berkata ancaman keselamatan dihadapi merangkumi keganasan, penyeludupan migran, pencerobohan dan kedaulatan perairan, di samping isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Media Baharu