fb fb fb fb fb

Tentera Darat pandang serius kejadian penuntut maut ketika kursus tempur

(FOTO FB TENTERA DARAT MALAYSIA)

KUALA LUMPUR, 16 Oktober - Tentera Darat (TD) memandang serius insiden seorang penuntut yang maut akibat strok haba ketika menjalani kursus tempur pegawai muda di lapang sasar Kem Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram, Johor, pada Ahad.

Sel Perhubungan Raya Tentera Darat menerusi kenyataan memaklumkan, TD akan berusaha mengenal pasti punca kejadian disamping melaksanakan penambahbaikan kepada pengendalian sistem latihan sedia ada jika terdapat keperluan.

"TD juga sedang mengusahakan segala bentuk bantuan dan kelayakan-kelayakan yang boleh diperolehi mengikut peraturan sedia ada bagi membantu waris pegawai yang telah meninggal iaitu Allahyarham Leftenan Muda Emil Syahid bin Iskandar.

"Panglima Tentera Darat serta seluruh warga Tentera Darat mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Leftenan Muda Emil Syahid bin Iskandar dan diharapkan mereka dapat menerima dugaan ini dengan tabah. Semoga Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang beriman," kata kenyataan itu.

(FOTO FB TENTERA DARAT MALAYSIA)

Menurut kenyataan itu, seramai 10 orang penuntut kursus telah rebah secara berperingkat di beberapa lokasi semasa sedang melaksanakan Eksesais WIRA LASAK iaitu Ujian Jalan Laju 8 km di sekitar kawasan Lapang Sasar Utara, PULADA, Ulu Tiram.

Kesemua penuntut telah dirujuk ke Hospital Kota Tinggi untuk mendapatkan rawatan awal, manakala tiga daripada mereka telah dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Wad ICU (Zon Merah) kerana tidak sedarkan diri.

"Seorang daripada mereka (Emil Syahid) telah disahkan meninggal dunia akibat strok haba dan telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bandar Tasik Puteri, Rawang Selangor," menurut kenyataan itu.

Kenyataan turut memaklumkan, dua daripada tujuh penuntut yang menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi telah dibenarkan keluar manakala lima lagi kini masih berada di wad dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Sementara itu, dua lagi penuntut pegawai muda yang ditempatkan di Wad ICU, Hospital Sultan Ismail juga telah sedarkan diri dan beransur pulih namun masih memerlukan pemantauan rapi pihak hospital.

Kursus Tempur Pegawai Muda Siri Tiga Tahun 2023 berlangsung dari 18 September sehingga 5 Januari 2024 di Johor.

Media Baharu