GERIK, 29 Jun- Program Peduli Veteran (PPV) tidak hanya memfokuskan pemberian bantuan kewangan kepada golongan veteran tentera.
Kini, ia diperluas dengan memperkasa dan meningkatkan taraf sosioekonomi golongan itu.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata pihaknya akan mengenal pasti usahawan veteran yang ingin menceburi bidang keusahawanan, pertanian dan perladangan.
Mereka akan diberi bantuan khidmat nasihat, geran padanan, dana pembiayaan dan fasiliti yang bersesuaian daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).
"Kita ada database veteran dari segi keusahawanan, jadi kita tengah menyelaras apa bantuan yang boleh kita usahakan untuk memperkasakan veteran.
"Bukan sekadar dari segi kewangan tetapi kebanyakkan sama ada dari segi latihan 'reskill' dan 'upskill' dan juga dari segi peralatan," katanya.
(Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari)
Beliau ditemui pemberita selepas hadir pada Program Peduli Veteran (PPV) Negeri Perak di Kampung Lalang, di sini pada Rabu.
Penerima BSH veteran ATM ditambah kepada 15,000
Dalam pada itu, Adly berkata penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan ditambah kepada 15,000 penerima berbanding 9,000 sebelum ini.
Bantuan bulanan sebanyak RM300 akan disalurkan kepada mereka yang tidak menerima pencen bulanan.
Ia antara komitmen kerajaan dalam membantu golongan berkenaan.
"Di samping itu kita selesaikan veteran tidak berpencen ini dengan Bantuan Sara Hidup, dulu 9,000 orang tahun ini kita tingkatkan kepada 15,000 orang, jadi yang tidak berpencen itu kita selesaikan isu pendapatan mereka melalui bantuan sara hidup RM3,600 setahun.
"Itu yang kita berikan dan dalam aspek lain seperti yang saya sebutkan perumahan dan seumpamanya," katanya.