fb fb fb fb fb

Program Payung Rahmah, langkah jangka pendek kurangkan beban kos sara hidup B40

JOHOR BAHRU, 8 Januari - Program Payung Rahmah akan diperkenalkan sebagai salah satu langkah jangka pendek Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) dalam usaha mengurangkan beban kos sara hidup golongan B40.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata program itu melibatkan kerjasama dengan beberapa kementerian lain termasuk Kementerian Ekonomi serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

(Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub)

"Fokus kita selama enam bulan..iaitu menyentuh golongan paling bawah dikalangan B40 yang kita anggap miskin tegar...yang mungkin kalau kita tidak dalami dengan teliti dan fokus...saya bimbang dengan keadaan ekonomi global yang dijangka begitu serius tahun ini, golongan ini yang terkesan," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Jamuan Kenduri Rakyat petugas Parlimen Pulai, di sini.

Tambah Salahuddin, perincian program Payung Rahmah akan diumum Selasa depan.

Katanya, antara yang akan diperkenalkan dalam program berkenaan adalah jualan murah Rahmah Kasih Sayang, pakej barangan asas dan Cafe Rahmah Kasih Sayang yang memberi tumpuan kepada golongan pelajar.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata KPDNKSH akan mengumumkan skim harga kawalan musim perayaan Tahun Baru Cina pada minggu hadapan.

Media Baharu