fb fb fb fb fb

Program NRW Kebangsaan ditambah baik, RM2.52 bilion diperuntuk

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Program Kadar Air Tidak Terhasil (NRW) Kebangsaan sedang diperhebat dengan matlamat memperkukuhkan pengurusan air di seluruh negara.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata cadangan penambahbaikan program tersebut telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada Julai lalu, dengan peruntukan sebanyak RM2.52 bilion.

"Program ini dibahagikan kepada dua pendekatan utama. Pendekatan pertama melibatkan penggantian paip kritikal di seluruh negara serta penyelesaian NRW secara holistik di enam negeri iaitu Pahang, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Pendekatan kedua pula merangkumi negeri-negeri lain seperti Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu, Perak, Pulau Pinang dan Kedah, dengan pelaksanaan kadar imbuhan balik secara prorata bagi menggalakkan penyertaan operator air," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latif Abdul Rahman, di Dewan Rakyat, di sini.

Tambah Akmal program tersebut akan dilaksanakan bermula tahun hadapan sehingga 2030 melalui pembiayaan geran.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN