fb fb fb fb fb

Skandal rasuah: Bekas Menteri Petroleum Venezuela ditahan

Bekas Menteri Petroleum Venezuela, Pedro Tellechea/Foto REUTERS

Caracas, 22 Oktober-Venezuela pada Isnin mengumumkan penahanan bekas menteri minyak, Pedro Tellechea, yang dituduh mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat yang dikawal oleh perkhidmatan perisikan Amerika Syarikat (AS).

Tellechea, yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Petroleum dan ketua syarikat minyak negara PDVSA sehingga Ogos lalu, ditahan pada Ahad bersama beberapa "rakan rapatnya," menurut kenyataan Peguam Negara, Tarek William Saab.

Mereka didakwa atas beberapa jenayah termasuk "menyerahkan" sistem kawalan automatik PDVSA kepada sebuah syarikat yang dikendalikan oleh perisikan AS, tanpa menamakan syarikat itu atau individu lain yang ditahan.

Penyerahan sistem kawalan PDVSA kepada syarikat tersebut didakwa melanggar "kedaulatan negara, menurut kenyataan itu.

Skandal terbaru ini menggegarkan industri minyak Venezuela yang sudah lama bermasalah, hanya tiga bulan selepas Presiden Nicolas Maduro memenangi pilihan raya semula yang dipertikaikan.

Pada Isnin, Maduro menyatakan kerajaannya akan terus memerangi "rasuah dan pengkhianat," sambil memberi amaran tentang "konspirasi" AS, tanpa merujuk secara langsung kepada Tellechea.

"Setiap hari mereka (kerajaan AS) merancang untuk melihat di mana mereka boleh masuk,dan mencipta keretakan," kata Maduro dalam program televisyen mingguannya.

Maduro melantik Tellechea, seorang kolonel tentera, sebagai menteri minyak pada Mac 2023 selepas pendahulunya, Tareck El Aissami, meletakkan jawatan berikutan operasi membanteras rasuah.

El Aissami, bekas sekutu Maduro dan bekas presiden Hugo Chavez kemudiannya ditahan bersama puluhan individu lain sebagai sebahagian daripada siasatan penipuan mata wang kripto bernilai jutaan dolar di PDVSA.

Tellechea, seorang jurutera mekanikal berusia 48 tahun, berikrar untuk "membersihkan" sektor minyak selepas dilantik, namun meletakkan jawatan pada Ogos untuk menjadi menteri industri.

Pada Jumaat, Maduro menggantikan Tellechea dengan sekutunya, Alex Saab, seorang ahli perniagaan Colombia yang dibebaskan oleh Amerika Syarikat pada Disember dalam pertukaran tahanan.

Tellechea sebelum ini menyatakan di media sosial bahawa beliau meletak jawatan sebagai menteri industri kerana "masalah kesihatan.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD