KUALA KEDAH, 6 Jun- Seorang ibu tunggal dengan tujuh anak, meluahkan rasa lega apabila dapat menggunakan motosikalnya tanpa rasa bimbang setelah cukai jalan motosikalnya yang tamat tempoh sejak tiga tahun, diperbaharui oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Bantuan tersebut disalur di bawah program MyJPJ Prihatin, yang menyasarkan pemberian bantuan terhadap komuniti kurang berkemampuan termasuk urusan memperbaharui cukai jalan.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata setakat ini, langkah proaktif berkenaan mendapat sambutan ramai dan peluang itu disediakan bagi memastikan bahawa kenderaan yang dipandu selamat dan mempunyai cukai jalan sah.
"Pada hari ini, kita membuat penyerahan cukai jalan untuk motosikal Puan Rohana. Ini merupakan program MyJPJ Prihatin di bawah JPJ Negeri Kedah. Kita membantu urusan dari segi memperbaharui cukai jalan bagi memudahkan Puan Rohana ini membawa anak-anak ke sekolah dan ke hospital dengan lesen yang telah diperbaharuilah," kata Stien kepada pemberita, di sini hari ini.
Sementara itu, bagi penerima, program tersebut memanfaatkan beliau sekeluarga termasuk memudahkan urusan menghantar anak bongsunya yang menghidap 'sindrom down' ke hospital dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Teluk Kechai.
"Terima kasih banyak kepada JPJ dan kepada yang memberi insurans sebab untuk memudahkan urusan anak-anak saya," kata Puan Rohana kepada pemberita.
Selain Rohana, anak keduanya yang berusia 19 tahun juga merupakan penerima program MyLesen.
Peserta Program MyLesen ditawarkan pembiayaan penuh meliputi semua latihan dan ujian, sehingga peserta berjaya mendapatkan lesen memandu.
Tambah Stien, orang ramai boleh mendapatkannya secara percuma melalui perkhidmatan van bergerak JPJ atau boleh terus ke pejabat JPJ bagi urusan pemeriksaan motosikal dan memperbaharui cukai selepas melepasi semakan dan pemeriksaan yang dibuat.
Pemeriksaan percuma ditawarkan kepada motosikal yang tamat tempoh cukai jalan melebihi tiga tahun.